AGENDA

Gempa bumi Turkiye: ATM hantar 106 anggota perubatan sertai misi kemanusiaan

10 Feb 2023, 11:52 PM
Gempa bumi Turkiye: ATM hantar 106 anggota perubatan sertai misi kemanusiaan

SEPANG, 11 FEB: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar 106 anggota perubatan termasuk 14 pakar pelbagai bidang dan 12 doktor untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi di Turkiye.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, berkata pasukan perubatan berkenaan akan bertolak ke Turkiye secara berperingkat dengan pagi semalam seramai 36 orang, malam tadi 34 orang selebihnya dijangka hari ini.

“Antaranya pakar pembedahan am, pakar orthopedik selain mengambil kira kemudahan pakar perbidanan dan sakit puan serta kanak-kanak yang amat diperlukan di kawasan kejadian saat ini,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Turkiye, malam tadi.

Katanya, anggota perubatan yang dihantar itu adalah berdasarkan kepada kebarangkalian kecederaan yang dialami oleh mangsa-mangsa gempa bumi di negara berkenaan.

Sementara itu, Dr Zulkeffeli berkata ATM akan membina sebuah Hospital Medan Malaysia (HMM) Tahap Tiga di Turkiye untuk tempoh enam minggu bagi memberi bantuan rawatan perubatan kepada mangsa gempa bumi di negara itu.

Menurutnya, HMM amat diperlukan memandangkan fasiliti kesihatan di kawasan bencana kebanyakkannya hampir musnah sehingga membataskan kemampuan fasiliti kesihatan di sana memberi perawatan secara berkesan.

“Dengan adanya HMM di kawasan kejadian, ia diharapkan dapat membantu meringankan beban terutamanya dari segi keperluan kesihatan di kawasan yang terlibat,” katanya.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda pada Isnin lepas telah meragut ribuan nyawa.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619