AGENDA

MB: Lebih 10,000 hadir pameran bangun semula Stadium Shah Alam, ramai setuju reka bentuk awal

10 Feb 2023, 12:24 PM
MB: Lebih 10,000 hadir pameran bangun semula Stadium Shah Alam, ramai setuju reka bentuk awal

SHAH ALAM, 10 FEB: Sesi libat urus pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) termasuk stadium negeri yang berakhir hari ini berjaya menghimpunkan lebih 10,000 orang awam.

Dato' Menteri Besar berkata kehadiran orang ramai ke ruang pameran di pusat beli-belah SACC Mall di sini, sejak 26 Januari membuktikan minat mereka terhadap pelaksanaan projek terbabit.

Dato' Seri Amirudin Shari turut memaklumkan lebih 95 peratus daripada jumlah itu memberi maklum balas positif dan bersetuju dengan reka bentuk awal kompleks sukan berkenaan.

"Pameran ini mendapat ribuan kehadiran secara fizikal sekitar 1,000 hingga 2,000 orang pada satu-satu masa kerana kebetulan ada majlis pengenalan jersi Selangor FC.

"Malah ia ditonton lebih 1.2 juta orang awam secara dalam talian. Maknanya nisbah itu besar dan bukti minat orang awam (terhadap pembangunan semula KSSA) sangat tinggi," katanya.

Ditemui selepas meninjau ruang pameran hari ini, beliau berkata pihaknya turut menerima banyak cadangan daripada orang ramai dan akan diperhalusi sebaiknya.

"Kita kena tengok laporan terperinci tetapi sudah pasti banyak perkara yang dicadangkan. Sebahagiannya mungkin ada cuma komponennya diubah-ubah.

"Contohnya tempat sukan ekstrem dan tapak pasar pagi kita ada. Kita akan tengok kesesuaian berdasarkan cadangan daripada pihak yang hadir," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya akan berbincang bagi proses kebenaran merancang selain rundingan pertukaran tanah bersama pemaju Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

"Projek ini masih dalam jadual, diharap suku pertama tahun ini kita akan mula pecah tanah dan pembangunan boleh berlaku secepat mungkin sampai 2026.

"Pengoperasian Transit Aliran Ringan (LRT) dijangka pada 2024 pula akan memberi impak yang baik kepada kawasan pembinaan semula KSSA," katanya.

Pameran awam pembangunan semula KSSA anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi peluang orang awam menilai pembinaan projek seluas 76.08 hektar itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619