AGENDA

Kontraktor pembersihan, sekolah disaran kawal pembiakan nyamuk

8 Feb 2023, 3:45 AM
Kontraktor pembersihan, sekolah disaran kawal pembiakan nyamuk

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Pihak sekolah serta kontraktor pembersihan yang telah dilantik disaran mengambil tindakan mengawal pembiakan nyamuk di sekolah yang berisiko menyebabkan demam denggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini susulan cuti akhir persekolahan yang akan bermula 17 Februari ini, selain sebahagian pelajar sekolah menengah sedang mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana ruangan kelas digunakan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 30 Januari sehingga 15 Mac ini.

Katanya antara tindakan yang boleh dilakukan ialah meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam pam tandas, tangki air dan kolam hiasan dan memastikan tiada air bertakung di alas pasu, tempat sampah, kon dan mesin penapis air.

“Lupuskan barang lusuh dan hapuskan bekas potensi pembiakan nyamuk Aedes dengan cara berhemah. Lakukan semburan aerosol pada awal pagi, sebelum memulakan ujian SPM atau hari pertama sesi pembelajaran.

“Pakai pakaian yang menutup anggota badan dan gunakan bahan repelan nyamuk di anggota badan yang terdedah semasa melakukan aktiviti luar pada waktu puncak gigitan nyamuk aedes, iaitu pukul 6 hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi kelima (ME5) tahun ini mencatatkan peningkatan 13 peratus, iaitu 2,159 kes berbanding 1,910 pada minggu sebelumnya, dengan dua kematian direkodkan.

“Kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga kini adalah 11,127 kes berbanding 3,573 kes bagi tempoh sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 7,554 kes. Enam kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding sifar kematian bagi tempoh sama pada 2022,” katanya.

Survelan chikungunya pula merekodkan sebanyak 20 kes pada ME5 dengan 10 kes dari Kedah, lima kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing dua dari Pulau Pinang dan Pahang dan satu kes dari Selangor, kata Dr Noor Hisham.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619