AGENDA

Tiada rakyat Malaysia di Syria terjejas akibat gempa bumi

7 Feb 2023, 12:05 PM
Tiada rakyat Malaysia di Syria terjejas akibat gempa bumi

PUTRAJAYA, 7 FEB: Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan tiada rakyat Malaysia di Syria terjejas akibat gempa bumi, berdasarkan laporan yang diterima daripada konsul jeneral kehormat di negara itu.

Zambry dalam satu kenyataan hari ini berkata memandangkan gegaran susulan dijangka berlaku, rakyat Malaysia di Syria telah dinasihatkan supaya senantiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta nasihat terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Beliau juga mengucapkan simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa serta kepada kerajaan dan rakyat Syria.

“Malaysia sedang siap sedia untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan bagi meringankan beban rakyat di kawasan terjejas akibat gempa bumi kuat semalam,” menurut kenyataan itu.

Untuk bantuan, Zambry berkata rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Syria melalui telefon di nombor +963 93324 5555 atau e-mel samir@honconsuladvisor.my.

Mereka juga boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Beirut melalui telefon di nombor +961 1787 144/166 atau e-mel mwbeirut@kln.gov.my dan Kedutaan Malaysia di Amman di +962 6 590 2400 atau e-mel mwamman@kln.gov.my.

Dua gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 dan 7.6 telah melanda selatan Turkiye pada Isnin yang turut menjejaskan negara jiran Syria.

Menurut kemas kini terbaru yang dikeluarkan Agensi Anadolu, bencana itu sudah meragut sekurang-kurangnya 3,419 nyawa di Turkiye manakala 1,559 orang terbunuh di Syria.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619