AGENDA

Ranking dunia: Aaron-Wooi Yik nombor dua, Zii Jia turun nombor empat

24 Jan 2023, 11:26 AM
Ranking dunia: Aaron-Wooi Yik nombor dua, Zii Jia turun nombor empat

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik naik satu anak tangga ke kedudukan kedua dalam ranking terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini selepas meraih 84,518 mata daripada 16 kejohanan yang disertai mereka.

Berdasarkan kedudukan ranking terbaharu itu, Aaron-Wooi Yik kini berada di belakang pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto yang kekal sebagai gandingan nombor satu dunia dengan 92,855 mata.

Kejayaan muncul naib juara Terbuka India di New Delhi pada Ahad lepas (22 Jan) membantu Aaron-Wooi Yik untuk meraih kedudukan tertinggi dalam kerjaya mereka.

Manakala pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tergelincir satu anak tangga ke kedudukan sembilan dunia.

Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula terkeluar daripada kelompok 10 terbaik apabila turun satu tangga ke kedudukan 11 dunia susulan prestasi kurang memberangsangkan apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka India.

Dalam pada itu, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah melonjak dua anak tangga untuk berada pada kedudukan enam dunia apabila berjaya meraih 69,955 mata daripada 16 kejohanan yang disertai.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia terpaksa akur apabila ranking dunianya jatuh dua anak tangga ke kedudukan empat dunia susulan dua kekalahan berturut-turut di pusingan awal pada kejohanan musim ini dengan 76,588 mata.

Pemain berusia 25 tahun itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tewas kepada Kodai Naraoka dari Jepun awal bulan ini dan tersungkur di pusingan kedua Terbuka India, minggu lepas selepas tewas kepada pemain China, Li Shi Feng.

Tempat Zii Jia kini diisi pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting manakala seorang lagi wakil Indonesia Jonatan Christie memanjat satu anak tangga untuk berada di kedudukan ketiga dunia.

Viktor Axelsen dari Denmark kekal dengan statusnya sebagai pemain nombor satu dunia.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619