ADN

Pemohon bantuan Tawas diminta kemas kini nombor telefon setiap dua tahun

23 Jan 2023, 1:12 AM
Pemohon bantuan Tawas diminta kemas kini nombor telefon setiap dua tahun

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 23 JAN: Keluarga penerima Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS) Si Manja Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) diminta mengemas kini maklumat terutama nombor telefon mereka setiap dua tahun agar dapat dihubungi semasa urusan menuntut bantuan.

Wakil rakyat Permatang berkata kemas kini itu perlu dilakukan kerana nama penerima PBMS didaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) semasa tahun kelahiran sehingga usia tiga tahun dan bantuan pula dituntut antara tiga hingga enam tahun kemudian.

"Dalam tempoh itu mungkin nombor telefon atau alamat keluarga penerima telah bertukar, jadi mereka yang mungkin terlupa pernah mendaftar dengan PBMS tidak dapat dimaklumkan mengenai tuntutan tersebut," kata Rozana Zainal Abidin ketika dihubungi.

Rozana berkata demikian berikutan majlis PBMS bagi Si Manja Tawas yang dilahirkan pada 2016 di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang semalam hanya dihadiri kira-kira 150 penerima sedangkan nama yang didaftarkan lebih 500 orang.

"Saya dan pegawai pusat khidmat DUN Permatang serta kakitangan Yawas menunggu dari pukul 10 pagi hingga 4.30 petang namun hanya 150 yang datang menuntut beg serta peralatan sekolah yang disediakan.

"Saya rasa ralat kerana bantuan ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk bantu rakyat Selangor tetapi tidak dituntut walau pendaftaran telah dibuat kerana penerima tidak dapat dihubungi," katanya.

Tawas yang diuruskan Yawas dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli Tawas menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619