AGENDA

KPDN tumpas aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Sungai Long

20 Jan 2023, 11:02 AM
KPDN tumpas aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Sungai Long

PUTRAJAYA, 20 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis tanpa nombor di Jalan Kuari Sungai Long, Hulu Langat semalam.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam berkata hasil pemeriksaan pasukan penguat kuasa menemukan minyak diesel berjumlah 42,000 liter, selain sebuah lori satu tan, pam bermotor, beberapa hos penyambung, flow meter dan beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Ketika serbuan, katanya terdapat seorang lelaki tempatan berumur dalam 30-an berada di dalam premis berkenaan bersama tiga lagi individu bukan warganegara yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel di dalam premis itu.

"Pihak premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata minyak diesel, lori, pam bermotor, serta peralatan lain yang dijumpai di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM108,900, manakala kesemua mereka yang berada di premis telah ditahan bagi membantu siasatan.

Azman berkata siasatan kes dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti berkenaan serta rantaian pengedaran minyak diesel itu termasuklah sumber minyak diesel itu diperoleh dan diedarkan.

Beliau berkata syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram.

Ia bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619