AGENDA

PM harap anugerah Michelle Yeoh jadi inspirasi seniman suburkan bakat

13 Jan 2023, 4:44 AM
PM harap anugerah Michelle Yeoh jadi inspirasi seniman suburkan bakat

SHAH ALAM, 13 JAN: Kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi Anugerah Golden Globe boleh menjadi inspirasi buat budayawan dan seniman tempatan, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan itu membanggakan negara dan rakyat terutamanya peminat filem.

"Tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati Tan Sri Michelle Yeoh atas pencapaian tingkat tinggi dalam industri seni perfileman.

"Saya amat berharap pencapaian Tan Sri Michelle ini memberi inspirasi kepada budayawan dan seniman tempatan untuk terus berkarya dan mencambah bakat kreatif lagi berkualiti," kata beliau menerusi Facebook hari ini.

Yeoh yang dikenali dunia melalui filem James Bond, menempa sejarah sinema Asia apabila memenangi anugerah berkenaan kelmarin.

Anak Perak itu yang mencipta nama di Hollywood melalui filem Tomorrow Never Dies pada 1997 dicalonkan untuk Everything Everywhere All at Once arahan sutradara Daniel Kwan dan Daniel Scheinert.

Kemenangan itu menyaksikan Yeoh mengetepikan aktres Lesley Manville yang membintangi Mrs Harris Goes to Paris, Anya Taylor-Joy (The Menu), Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (Babylon).

Memegang watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia, Yeoh, 60, menyifatkan pengalaman lebih empat dekad dalam dunia seni sebagai perjalanan menakjubkan.

Golden Globe antara anugerah dunia paling berprestij sebaris Oscar dan Cannes malah baru-baru ini, Yeoh juga diumumkan Ikon Tahun 2022 oleh majalah Time.

Sementara itu Anwar berkata beliau akan menonton filem yang dibintangi Yeoh itu dalam masa terdekat.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada Yeoh mewakili seluruh rakyat Malaysia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619