AGENDA

Sukarelawan Selangor tunggu kebenaran bantu cari mangsa tanah runtuh

17 Dis 2022, 6:55 AM
Sukarelawan Selangor tunggu kebenaran bantu cari mangsa tanah runtuh

KAJANG, 17 DIS: Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue menunggu kebenaran pihak berkuasa bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) 12 lagi mangsa yang belum ditemui dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata setakat ini hanya anggota bomba dan penyelamat yang dibenarkan memasuki kawasan terbabit untuk meneruskan misi berkenaan.

"Kita sudah sediakan sukarelawan melalui Serve, cuma buat masa ini bomba tidak benarkan pasukan berkenaan masuk termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain berikutan lokasi itu sangat berbahaya dan masih ada pergerakan tanah ditambah pula dengan hujan.

"Jadi saya rasa di peringkat Serve, kita akan tunggu (kebenaran) daripada pihak bomba. NGO lain juga diminta untuk tidak masuk sebagaimana diarah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Kejohanan Piala Budak Kampung peringkat daerah Hulu Langat di Arena Owl Trafford, Bangi di sini hari ini.

Mohd Khairuddin juga menyatakan rasa simpati terhadap semua yang terbabit dalam insiden pada pagi semalam selain meminta keluarga mangsa bersabar.

"Runtuhan tanah ini saya kira ia bencana alam dan saya tidak mahu tuding jari kepada sesiapa tetapi kita bersimpati dengan seluruh individu yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.

Setakat tengah malam tadi, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

Operasi SAR diteruskan 8 pagi tadi dengan menumpukan dua daripada tiga sektor kawasan pencarian membabitkan sektor B (kem Farmview) dan sektor C (berhampiran kem Riverside).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619