AGENDA

Fahmi bertemu penyedia media sosial, bincang isu kandungan bersifat agresif

5 Dis 2022, 12:59 PM
Fahmi bertemu penyedia media sosial, bincang isu kandungan bersifat agresif

PUTRAJAYA, 5 DIS: Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial bagi membincangkan isu berkaitan penyebaran maklumat palsu serta kandungan bersifat agresif.

Beliau yang baru memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital di sini hari ini berkata pertemuan itu akan turut memberi ruang kepadanya untuk memahami kerangka kawal selia setiap penyedia perkhidmatan media sosial.

Beliau berkata pertemuan itu adalah untuk membolehkan penyedia perkhidmatan media sosial bersikap lebih prihatin terhadap undang-undang negara ini serta keperluan untuk menjaga keharmonian serta perpaduan rakyat.

“Saya berharap mereka akan dapat membantu (kementerian) ke arah usaha ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai Kementerian Komunikasi Digital yang dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Datuk Seri Mohammad Mentek, serta dihadiri pengurusan tertinggi kementerian dan ketua-ketua jabatan.

Fahmi yang dijadualkan bertemu wakil aplikasi TikTok Malaysia petang ini berkata : “Kita mulakan pertemuan ini (dengan TikTok) sebab sebaran video di TikTok terutama mengenai peristiwa 13 Mei sangat merisaukan. Insya-Allah kita akan jemput penyedia perkhidmatan media sosial yang lain dalam masa terdekat”.

Mengenai taklimat mengenai kementerian, Fahmi berkata isu penyebaran maklumat palsu dan kandungan agresif turut menjadi perkara utama perbincangan yang ditekankan 11 agensi dan tiga jabatan di bawah Kementerian Komunikasi Digital.

Turut dibincangkan ialah mengenai isu perlindungan data peribadi untuk menangani penipuan dalam talian (scam) dan belanjawan kementerian bagi 2023.

“Mengenai bajet (Belanjawan), ia ada dibangkitkan dalam taklimat tadi. Saya perlu dapatkan perincian daripada kementerian kerana saya perlu faham untuk dapatkan gambaran menyeluruh,” katanya.

Mengenai cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia, Fahmi berkata beliau perlu mendapatkan perincian berhubung perkara terbabit daripada pemain industri media khususnya persatuan wartawan.

Beliau turut memberi jaminan kebebasan media akan diberi keutamaan termasuk aspek kebajikan pengamal media di negara ini.

Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia disuarakan peserta Wacana Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media di seluruh negara.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619