AGENDA

Majlis Media Malaysia gesa pendekatan konstruktif tangani kesilapan penerbitan, bukan menghukum

23 Jun 2025, 9:54 PM
Majlis Media Malaysia gesa pendekatan konstruktif tangani kesilapan penerbitan, bukan menghukum

SHAH ALAM, 23 JUN: Pegangan terhadap akauntabiliti bersifat konstruktif, bukannya kawalan yang menghukum merupakan asas terbaik untuk membina landskap media yang lebih kukuh dan dipercayai di Malaysia.

Tanpa menolak prinsip semua organisasi media perlu bertanggungjawab atas kandungan yang mereka siarkan, Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan tindakan keras atau tidak seimbang oleh pihak berkuasa dalam menangani kesilapan penerbitan seperti yang berlaku baru-baru ini melibatkan Sinar Harian berhubung profil Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang baru dilantik.

Badan itu memandang serius kesilapan penerbitan yang berlaku dan mendukung prinsip, bilik berita harus mempunyai prosedur operasi yang kukuh, sejajar etika kewartawanan dan standard profesional yang amat penting dalam mengekalkan kepercayaan awam dan integriti profesion kewartawanan.

Namun, ia turut menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan tindakan keras atau tidak seimbang oleh pihak berkuasa dalam menangani kesilapan seperti itu, kerana pendekatan menghukum melalui undang-undang yang menindas hanya akan melemahkan kebebasan media.

“Jalan penyelesaian terhadap kewartawanan yang cacat adalah melalui kewartawanan yang lebih baik, bukan melalui intimidasi atau penindasan.

“Walaupun organisasi media mempunyai tanggungjawab untuk melapor secara tepat dan beretika, adalah penting agar sebarang kesilapan ditangani secara membina dan dalam kerangka yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, dalam kes itu, dilaporkan Sinar Harian telah memohon maaf dan memohon untuk bertemu dengan Mohd Khalid dan beliau juga telah bersetuju hadir dalam pertemuan tersebut.

“Kami percaya pertemuan antara kedua-dua pihak akan membawa kepada penyelesaian yang konstruktif.

“Kesilapan, walaupun tidak diingini, boleh berlaku dalam mana-mana profesion. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kesilapan tersebut ditangani.

“Media, dalam hal ini, harus bertindak balas dengan ketelusan, rendah hati dan iltizam untuk memperbaiki kelemahan. Walaupun Majlis Media Malaysia masih belum berfungsi secara rasmi, situasi ini mengukuhkan keperluan untuk kita mengangkat nilai asas kewartawanan yang bertanggungjawab dan kepentingan semakan fakta, khususnya apabila melaporkan mengenai institusi penting negara,” katanya.

Tambahnya, Majlis Media Malaysia komited mewujudkan persekitaran media yang menghormati kebebasan bersuara dalam batas kewartawanan yang profesional, bertanggungjawab dan beretika.

“Kami percaya bahawa pegangan akauntabiliti yang konstruktif dan bukan kawalan yang menghukum merupakan jalan terbaik untuk membina landskap media yang lebih kuat dan dipercayai di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KEADILAN Dr Fuziah Salleh memaklumkan Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli KEADILAN, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu seperti disiarkan dalam media sosial sebuah akhbar tempatan semalam.

Katanya penyebaran profil yang salah dan berkait dengan parti politik boleh menjejaskan imej serta kredibiliti ketua polis negara, selain boleh menimbulkan persepsi negatif kepada KEADILAN sebagai parti pemerintah sekiranya terdapat rakyat mempercayai bahawa lantikan Mohd Khalid dibuat atas dasar lantikan politik.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619