AGENDA

Menteri PN, BN tumbang dalam PRU15

20 Nov 2022, 8:55 AM
Menteri PN, BN tumbang dalam PRU15

SHAH ALAM, 20 NOV: Menteri Kanan Industri dan Perdagangan Antarabangsa Dato' Seri Mohamed Azmin Ali antara lapan menteri kabinet yang tewas pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semalam.

Penyandang tiga penggal Parlimen Gombak itu tewas kepada calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato' Seri Amirudin Shari dengan majoriti 12,729 undi.

Nasib sama turut dikongsi Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kuala Selangor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili (Kota Marudu) dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh).

Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun (Sepang), Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraidah Kamaruddin (Ampang), Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas).

Mohamed Azmin dan Rina mewakili Perikatan Nasional (PN) manakala Tengku Zafrul, Khairy, Mahdzir dan Reezal Merican (Barisan Nasional), Maximus (Gabungan Rakyat Sabah) dan Zuraidah (Parti Bangsa Malaysia).

Sementara itu, tujuh timbalan menteri yang turut tumpas adalah:

  • Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa Datuk Lim Ban Hong (Tangga Batu-BN)
  • Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mah Hang Soon (Tanjung Malim-BN)
  • Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah-PN).
  • Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Ismail Mohamed Said (Kuala Krau-BN)
  • Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak-PN)
  • Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar-Bebas)
  • Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal-PN).

PRU15 yang berlangsung semalam menyaksikan HARAPAN memperoleh 82 kerusi, PN (73) manakala BN (30), namun kesemua gabungan tidak mempunyai majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619