AGENDA

Julang Piala Sultan Azlan Shah 'hadiah bermakna' kepada penyokong hoki negara

11 Nov 2022, 12:21 AM
Julang Piala Sultan Azlan Shah 'hadiah bermakna' kepada penyokong hoki negara

IPOH, 11 NOV: Pengendali skuad hoki kebangsaan A Arul Selvaraj menyifatkan kejayaan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama sebagai ‘hadiah bermakna’ kepada penyokong hoki tanah air yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad Speedy Tigers.

Arul Selvaraj berkata kejayaan itu juga sentiasa dinanti-nantikan oleh pemain, barisan jurulatih serta pihak pengurusan yang selama ini dahagakan kejuaraan.

"Saya memuji barisan pemain saya dan semua pihak yang bekerja keras selama ini kerana piala ini sudah kita dambakan sejak 39 tahun lalu, dan pemain beraksi sepenuh jiwa.

"Itu sebab sebelum memulakan suku ketiga perlawanan saya pesan kepada pemain supaya bermain mati-matian dan jangan sesekali kita tumpas di hadapan beribu penyokong yang hadir malam ini (tadi). Mereka berjuang habis-habisan untuk menamatkan badi kekalahan di final, " katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Sultan Azlan Shah itu, Malaysia menewaskan Korea Selatan 3-2 sekali gus menamatkan penantian 39 tahun untuk bergelar juara.

Malaysia memulakan kempen kejohanan dengan langkah kiri apabila tumpas kepada Korea Selatan 0-3 dan kemudian sekadar seri 1-1 dengan Pakistan pada aksi kedua dalam kejohanan liga sepusingan itu.

Speedy Tigers kemudian membuat kejutan apabila menjinakkan Mesir 4-1 sebelum berpesta gol pada perlawanan keempat menentang Afrika Selatan dengan keputusan 7-2 sebelum menduduki carta kedua liga apabila menumpaskan Jepun 4-2 untuk layak ke final.

Kemenangan pada aksi final itu sekali gus menamatkan penantian 39 tahun Speedy Tigers untuk bergelar juara selepas kali terakhir layak ke peringkat akhir pada 2014 namun tumbang kepada Australia 8-3.

Kejayaan dilakar skuad kendalian Arul Selvaraj itu juga berjaya membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan yang mengecewakan impian Malaysia merangkul Piala Asia di Jakarta, Mei lepas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619