AGENDA

Feri bawa lebih 500 penumpang dari Langkawi terkandas, sangkut beting lumpur

23 Okt 2022, 11:34 AM
Feri bawa lebih 500 penumpang dari Langkawi terkandas, sangkut beting lumpur

ALOR SETAR, 23 OKT: Feri yang membawa lebih 500 penumpang dan kru dalam perjalanan dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi ke Terminal Jeti Kuala Kedah terkandas apabila ia tersangkut di beting lumpur, dipercayai akibat air laut surut yang berlaku di alur pelayaran Kuala Kedah.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Kapt Baharin Baharom berkata feri yang bertolak dari Langkawi ke Kuala Kedah pada pukul 1 tengah hari itu membawa 545 penumpang bersama lapan kru.

“Feri berkenaan terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah kira-kira pukul 3 petang. Buat masa ini pihak kami sedang menunggu laporan daripada kapten feri kerana ketika kejadian air laut adalah pada paras 1.7 meter, keadaan masih selamat untuk pelayaran.

“Tinjauan awal mendapati banyak faktor yang boleh menyebabkan feri berkenaan terkandas, antaranya feri tidak mengikut laluan asal atau laluan feri telah dihalang oleh kerja-kerja pergerakan laut ketika itu,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.55 petang.

“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan berhubung kes feri terkandas berhampiran Jeti Kuala Kedah dan telah mengarahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja ke lokasi kejadian.

“Feri yang membawa lebih 500 penumpang dan kru itu tersangkut di beting lumpur akibat air surut. Buat masa ini anggota bomba bersama Jabatan Laut dan nelayan tempatan sedang memantau keadaan dan berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata air pasang semula dijangkakan bermula pada pukul 7 malam dan air pasang penuh pula dijangkakan berlaku pada pukul 11.30 malam nanti. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619