AGENDA

Penghantar makanan maut kemalangan, enam hari selepas DASH dibuka

20 Okt 2022, 8:08 AM
Penghantar makanan maut kemalangan, enam hari selepas DASH dibuka

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang dibuka pada Jumaat lepas, mencatat kemalangan maut pertama melibatkan seorang penghantar makanan apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di lebuh raya itu, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Fhakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di KM15.7 dari arah Penchala ke Denai Alam itu pada 12.05 tengah malam.

Beliau berkata lelaki berusia 24 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi membantu siasatan.

Lebuhraya sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk itu dibuka mulai 12.01 tengah malam, Jumaat lepas (14 Okt).

DASH menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619