AGENDA

Petani didakwa bunuh bayi, cederakan isteri dan bekas teman wanita

20 Okt 2022, 7:46 AM
Petani didakwa bunuh bayi, cederakan isteri dan bekas teman wanita

ALOR SETAR, 20 OKT: Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang di sini, awal bulan lepas.

Muhammad Nasyran Zamzury, 28, didakwa membunuh anaknya Muhammad Annas di rumah berkenaan di antara 9 malam 4 Okt 2022 hingga 1.30 tengah hari, 10 Okt 2022.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Muhammad Nasyran didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi tiga lagi pertuduhan di mahkamah sama dan mengaku salah terhadap satu daripada pertuduhan iaitu memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam dirinya sendiri, tanpa kebenaran pihak berwajib.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada kira-kira 7 malam, 10 Okt lepas.

Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Dis ini, sementara menunggu laporan patologi.

Bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Nasyran mengaku tidak bersalah mencederakan bekas teman wanitanya di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra, di sini kira-kira 7 pagi pada 5 Mei 2019.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Nov depan.

Untuk pertuduhan terakhir, Majistret Siti Norhidayah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22, di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Mukim Padang Hang dekat sini, kira-kira 5 petang pada 4 Okt lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Zuriyah Mohd Nordin bagi pertuduhan mencederakan isterinya.

Bagaimanapun tertuduh tidak diwakili peguam bagi tiga lagi pertuduhan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619