AGENDA

Individu positif Covid-19 bergejala ringan dibenar mengundi dalam PRU15

13 Okt 2022, 8:29 AM
Individu positif Covid-19 bergejala ringan dibenar mengundi dalam PRU15

KUALA TERENGGANU, 13 OKT: Individu yang positif Covid-19 namun tidak kritikal, akan dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun individu tersebut perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Menurut beliau pihaknya telah bermesyuarat dengan SPR bagi mengesyorkan beberapa cadangan untuk dimasukkan sebagai SOP bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar dan selamat.

"Akan ada saluran khas untuk mereka (yang positif Covid-19) nanti, tidak akan bercampur dengan orang lain.

"Pemakaian pelitup muka dan pelindung muka juga penting selain sanitasi. Pemakaian pakaian perlindungan peribadi (PPE) lengkap kami tak cadangkan dalam SOP," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah melakukan persiapan menghadapi banjir termasuk menyediakan petugas di lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) dan mengenal pasti lokasi yang mempunyai pesakit berisiko.

Katanya petugas akan memastikan aspek kebersihan di PPS terjaga dan melakukan saringan bagi mengelak risiko jangkitan pelbagai penyakit yang berbahaya.

"Untuk pesakit dengan kes berisiko seperti buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis pula, KKM dah kenal pasti awal kedudukan mereka supaya rawatan tak putus (terhenti) ketika banjir.

"Kami ada data mereka dan kami ada juga data tempat mana yang perlu kami tingkatkan perkhidmatan jika berlaku banjir," katanya.

Menurutnya lagi, sebanyak 552 daripada 2,891 Klinik Kesihatan di seluruh negara dikenal pasti berisiko dilanda banjir, namun langkah alternatif telah diambil bagi menghadapi masalah terbabit.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619