AGENDA

SPR benarkan calon positif Covid-19 bertanding PRN Melaka

7 Nov 2021, 8:58 AM
SPR benarkan calon positif Covid-19 bertanding PRN Melaka

MELAKA, 7 NOV: Tiada halangan bagi calon yang positif Covid-19 untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Bagaimanapun, beliau berkata borang pencalonan calon harus dihantar pada masa yang ditetapkan melalui wakil calon menerusi pencadang atau penyokong.

"Tiada masalah untuk mereka (calon) bertanding, asalkan mereka menghantar borang pencalonan itu pada masa ditetapkan," katanya kepada Bernama di Menara Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata saringan Covid-19 melibatkan calon juga tidak diwajibkan namun semua calon digalakkan melakukannya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, SPR turut menempatkan khemah khas di pusat pencalonan sekiranya terdapat calon yang bergejala Isnin ini.

"Khemah ini akan diuruskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama SPR. Di pintu utama pusat penamaan calon, calon akan diperiksa saringan suhu badan, sekiranya suhu direkodkan melebihi 37.5 darjah Celcius, mereka akan dihantar ke khemah bergejala ini," kata Abdul Ghani.

Beliau berkata segala proses semakan dan penyerahan borang penamaan calon akan diuruskan oleh pegawai SPR yang bertugas di khemah untuk mereka yang bergejala itu.

Katanya, sebanyak 12,900 petugas daripada pelbagai agensi termasuk KKM, polis dan pihak berkuasa tempatan terbabit pada PRN ini.

"Kita berharap semua penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak berkumpul serta berarak di kawasan pusat penamaan dan sentiasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan," katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619