AGENDA

Agong kecewa politik semasa, tiada pilihan selain perkenan bubar

10 Okt 2022, 10:15 AM
Agong kecewa politik semasa, tiada pilihan selain perkenan bubar

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mempunyai pilihan selain memperkenan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen, bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa, tanpa memberikan butiran lanjut.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat, mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November.

Menurutnya Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong memperkenan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa hari ini selepas menerima menghadap perdana menteri dalam sesi tidak berjadual di Istana Negara, 12 tengah hari semalam.

Ismail Sabri dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan mengumumkan pembubaran Parlimen mengatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619