AGENDA

Persidangan Dewan Rakyat batal selaras pembubaran Parlimen

10 Okt 2022, 11:42 AM
Persidangan Dewan Rakyat batal selaras pembubaran Parlimen

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang sebelum ini dijadual bersidang selama 32 hari, dibatalkan selaras dengan pembubaran Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata berikutan itu, Persidangan Kamar Khas, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas, turut dibatalkan.

“Saya telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa hari ini (10 Okt) yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan kuasa yang diberikan kepada Baginda di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Pesekutuan.

“Justeru urusan selanjutnya akan terletak kepada bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang dijadual bersidang selama 32 hari, hanya sempat bersidang selama lima hari bermula 3 Okt, dengan tumpuan kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Bajet 2023) yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lepas (7 Okt).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619