AGENDA

Pembinaan kompleks sukan bersifat komersial, tampung kos baik pulih

30 Sep 2022, 3:12 PM
Pembinaan kompleks sukan bersifat komersial, tampung kos baik pulih

SHAH ALAM, 30 SEPT: Pembinaan tapak komersial dan fasiliti awam sekitar Kompleks Sukan Shah Alam bakal memberi hasil pulangan kepada pengurusan stadium, kata pengarah urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Mohd Imran Mohamad Salim berkata pulangan diperoleh hasil bayaran penyewa boleh digunakan untuk membiayai kos penyelenggaraan stadium yang dianggar RM6 juta setahun.

"Sebab itu kita mengetengahkan konsep pelbagai guna (multi purpose) bagi pembangunan semula kompleks ini. Ia lebih bersifat komersial kerana selain menjadi tempat sukan, ia juga boleh digunakan untuk penganjuran konsert.

"Pendapatan dapat dijana melalui konsep pembangunan ini sekali gus tidak membebankan Kerajaan Negeri untuk menanggung kos tambah baik dan penyelenggaraan," katanya pada sesi taklimat pembangunan semula kompleks terbabit di Hotel Concorde hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Dalam pada itu, Mohd Imran berkata pelbagai faktor diambil kira terhadap pembangunan semula kompleks atas tanah seluas lebih 80 hektar termasuk banjir yang kerap berlaku.

"Jadi pembangunan semula ini membabitkan kawasan padang yang akan diangkat lebih tinggi kerana Stadium Shah Alam sendiri berada di kawasan paling rendah," katanya lagi.

Pada 15 Julai lalu, Dato' Menteri Besar berkata projek yang dijangka siap seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 dilaksana secara perkongsian awam-swasta dengan MRCB akan menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam.

Dato' Seri Amirudin Shari turut menjelaskan sejumlah RM787 juta kos digunakan untuk membaik pulih bangunan dan kemudahan lain di stadium terbabit antaranya meninggikan platform stadium 1.5 meter bagi mengelak bah berulang selain menukar sistem pendawaian elektrik.

Kiraan lain meliputi penukaran struktur bumbung dan meruntuhkan yang sedia ada selain pembaikan padang serta membaiki sistem perpaipan.

Berikut ciri-ciri Kompleks Sukan Shah Alam:

- Stadium berkapasiti 35,000 ke 45,000 penonton

- 60 peratus kawasan kompleks adalah untuk aktiviti sukan dan stadium bertaraf antarabangsa

- Reka bentuk akan mengambil kira dan menyelesaikan masalah trafik, menghubungkan pengangkutan awam, menyelesaikan isu banjir

- Stadium terbuka dan mempunyai fungsi untuk menjadi stadium tertutup bagi mengendalikan pelbagai acara

- 40 peratus kawasan kompleks akan digunakan bagi ruang rekreasi awam

- Taman awam, pusat rekreasi dan pembangunan belia turut akan disediakan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619