SHAH ALAM, 1 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan ekspo buku, Petaling Jaya Book Expo (PJBX) di Dewan Sivik MBPJ selama sembilan hari bermula 3 September.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan ekspo anjuran bersama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.
"Ini adalah salah satu 'signature event' buat bandar raya Petaling Jaya yang dinobatkan status sebagai Bandar Pembelajaran Pertubuhan Pendidikan, Sains Dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya di Facebook.
Sementara itu, semakan di laman sesawang PJBX menyatakan sebanyak 40 pempamer terlibat dalam ekspo sehingga 11 September itu.
Selain jualan buku, turut diadakan seminar peperiksaan, pertandingan mewarna dan bercerita, sesi bual bicara dan sesi bedah buku.
Pada 31 Januari 2019, Petaling Jaya dinobatkan antara 10 bandar di dunia yang menerima pengiktirafan sebagai Bandar Pembelajaran 2019.
Anugerah ini diberikan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di atas pelbagai pencapaian cemerlang dan inisiatif diusahakan MBPJ khususnya di dalam bidang pendidikan.