AGENDA

Altimet seru usahawan beralih digital, raih pulangan berbaloi

6 Ogos 2022, 12:45 PM
Altimet seru usahawan beralih digital, raih pulangan berbaloi

KUALA SELANGOR, 6 OGOS: Penyanyi rap dan komposer terkenal Altimet menyeru usahawan negeri ini mengembangkan perniagaan melalui platform digital kerana memberi pulangan berbaloi.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata saranan itu berdasarkan pengalamannya sendiri yang menerima pulangan 98 peratus melalui penstriman.

"Saya mula berniaga pada 1999 bersama rakan bangunkan syarikat rakaman sendiri. Pada masa itu tiada lagi usahawan digital. Perjalanan dalam bidang ini saya nampak perubahan itu berlaku.

"Kita jual secara fizikal seperti kaset, cakera padat dan pada 2018 ketika saya keluar industri, 98 peratus jualan kami datang dari digital seperti penstriman dan tontonan di YouTube," katanya.

Beliau ditemui pada Jelajah Usahawan Digital Selangor anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Dato' Penggawa Permatang di sini hari ini.

Pelantun lagu Sang Saka Biru berkata rezeki yang diperoleh menerusi pendigitalan kini dikembangkan kepada perniagaan aplikasi al-Quran yang semakin dikenali ramai.

"Alhamdulillah aplikasi memeriksa bacaan al-Quran itu semakin berkembang sejak ia dibangunkan pada 2018," kata Altimet lagi.

Jelajah yang diperkenal sejak dua tahun lalu akan berkunjung ke semua daerah sehingga September bagi membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan mudah dan pantas.

Selain Lazada, Shopee dan J&T, jelajah itu turut melibatkan pemain industri seperti PG Mall, EasyStore, Dropee, Yayasan Hijrah Selangor dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619