BERITA UTAMA

Elak derita dalam senyap, segera rujuk pakar jika tertekan

4 Ogos 2022, 9:23 AM
Elak derita dalam senyap, segera rujuk pakar jika tertekan
Elak derita dalam senyap, segera rujuk pakar jika tertekan

SHAH ALAM, 4 OGOS: Individu yang mengalami tekanan mental diminta segera mendapatkan nasihat psikiatri dan kaunselor sebagai pencegahan awal bagi mengelak kesan lebih buruk.

EXCO kesihatan awam berkata Selangor memandang serius isu tersebut dan memperkenal inisiatif Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, program yang memasuki tahun keempat ditawarkan secara percuma buat rakyat Selangor yang berdepan masalah itu untuk mendapat pandangan pakar.

"Sebab itu saya menyeru kepada individu atau sesiapa yang mempunyai ahli keluarga atau pasangan yang mungkin mengalami masalah gangguan mental seperti tekanan, kemurungan, atau kegelisahan segera hubungi talian SEHAT," katanya di Facebook.

Beliau menjelaskan kenaikan ketara kes gangguan kesihatan mental banyak dicatatkan pascapandemik akibat tekanan ekonomi, hilang pekerjaan, masalah keluarga dan lain-lain.

Beliau turut berkongsi keratan akhbar yang melaporkan insiden meruntun jiwa bapa mencampak tiga anak dan membunuh diri di Kepong selain kisah jururawat membunuh bayinya berusia lapan bulan.

"Dua insiden ini malah banyak lagi yang dilaporkan sebelum ini menuntut kita sebagai masyarakat mengambil peduli keadaan mereka di sekitar kita khususnya pasangan, ahli keluaraga, saudara mara malah jiran tetangga," kata Dr Siti Mariah.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kaunseling boleh menghubungi talian 1700-82-7536 atau 1700-82-7537 dari Isnin hingga Jumaat mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Mereka juga boleh merujuk aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk mendapatkan bantuan daripada 30 pakar kaunselor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619