AGENDA

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga legenda badminton Ng Boon Bee

4 Ogos 2022, 6:54 AM
Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga legenda badminton Ng Boon Bee

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda beregu badminton negara Datuk Ng Boon Bee yang meninggal dunia semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa dan sumbangan mendiang kepada negara dan juga menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan badminton tanah air,” demikian menurut catatan itu.

Ng, 84, yang berasal dari Ipoh, Perak dan gandingannya Datuk Tan Yee Khan menjadi juara pada kali pertama mewakili negara di Kejohanan All England pada 1965.

Antara kejayaan pingat emas yang dimenanginya termasuk beregu lelaki Sukan Komanwel Edinburgh 1970, beregu lelaki Sukan Asia Jakarta 1962, beregu lelaki Sukan Asia Bangkok 1966, beregu lelaki dan beregu campuran Sukan Asia Bangkok 1970 dan Piala Thomas Jakarta 1967.

Selain itu, mendiang juga menang pingat perak di Sukan Olimpik Munich 1972 ketika bergandingan dengan Datuk Punch Gunalan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619