AGENDA

Mediang legenda beregu badminton negara, Boon Bee disemadi di Ipoh

7 Ogos 2022, 5:17 AM
Mediang legenda beregu badminton negara, Boon Bee disemadi di Ipoh

IPOH, 7 OGOS: Jasad bekas pemain badminton beregu terbaik negara Datuk Ng Boon Bee yang meninggal dunia pada Rabu lepas, selamat disemadikan di Taman Peringatan Nirvana di sini hari ini.

Boon Bee, 84, kelahiran Ipoh itu meninggal dunia pada 4 petang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat aneurisme.

Jasad mendiang Boon Bee disemadikan kira-kira 11 pagi dengan kehadiran ahli keluarga dan teman-teman rapat yang datang untuk memberikan penghormatan terakhir.

Mendiang Boon Bee meninggalkan seorang isteri Datin Tong Yee Cheng, 85, dan seorang anak perempuan Gillian, 51, manakala anak lelakinya Thomas, 54, meninggal dunia tahun lepas.

Bakat Boon Bee mula menyinar selepas menjuarai acara perseorangan dan beregu di sekolahnya di Ipoh pada 1955, sebelum memenangi acara beregu campuran dan beregu lelaki Remaja Perak pada 1956, dan kemudiannya menyertai kejohanan peringkat antarabangsa di Terbuka Malaysia 1957.

Boon Bee dan pasangannya Datuk Tan Yee Khan menjadi juara pada kali pertama mewakili negara di Kejohanan All England pada 1965.

Antara kejayaan pingat emas yang dimenanginya ialah beregu lelaki Sukan Komanwel Edinburgh 1970, beregu lelaki Sukan Asia Jakarta 1962, beregu lelaki Sukan Asia Bangkok 1966, beregu lelaki dan beregu campuran Sukan Asia Bangkok 1970 dan Piala Thomas Jakarta 1967. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619