ad
AGENDA

Peniaga lega dapat internet percuma, permudah urusan niaga dalam talian

1 Ogos 2022, 4:04 AM
Peniaga lega dapat internet percuma, permudah urusan niaga dalam talian
Peniaga lega dapat internet percuma, permudah urusan niaga dalam talian

GOMBAK, 1 OGOS: Kalangan peniaga di Laman Selebriti Cabin8 di Padang Awam Batu Caves di sini berasa lega mendapat internet percuma selama setahun daripada Kerajaan Negeri.

Peniaga nasi lemak berlauk Mohamad Saleh Mohd Alias berkata manfaat itu sedikit sebanyak membantunya berniaga secara dalam talian dengan lebih jimat dan cepat.

"Sebelum ini saya perlu belanja lebih RM100 sebulan untuk data internet termasuk bil telefon tetapi apabila terima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma ia agak menjimatkan.

[caption id="attachment_533341" align="alignright" width="382"] Mohamad Saleh Mohd Alias. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

"Terima kasih Kerajaan Negeri kerana menyediakannya...saya berharap selepas ini lebih banyak inisiatif disediakan dalam membantu peniaga kecil," katanya kepada SelangorKini.

Manakala, peniaga manisan R Sanbagavalli turut menyifatkan perkara sama dan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor.

"Sebelum ini saya hanya menjual secara fizikal tetapi selepas mendapat manfaat internet percuma ini saya bercadang memulakan perniagaan secara dalam talian.

"Banyak inisiatif negeri dalam membantu peniaga kecil seperti kami termasuk menyediakan kawasan ini (Laman Selebriti) dengan modal sewaan serendah RM20 sahaja untuk berniaga," katanya.

Semalam, seramai 20 peniaga menerima manfaat program Data Internet Selangor dan pelekat Platform Selangor (PLATS) menerusi program Jelajah Selangor Penyayang semalam.

Inisiatif langganan internet percuma setahun itu diserahkan isteri Dato' Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhammad kepada peniaga di Laman Selebriti Cabin8.

Pada 4 Ogos tahun lalu Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM berkenaan.

Agihan turut diberi kepada peminjam Yayasan Selangor, pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor, peniaga, petani dan ibu tunggal.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.