AGENDA

Tiada gangguan bekalan air selepas tumpahan minyak sawit akibat nahas

29 Jul 2022, 9:01 AM
Tiada gangguan bekalan air selepas tumpahan minyak sawit akibat nahas

SHAH ALAM, 29 JULAI: Tiada gangguan bekalan air dilaporkan berlaku susulan insiden tumpahan minyak sawit akibat nahas di Lebuhraya Utara- Selatan Hubungan Tengah (Elite) KM36.8 arah utara, semalam.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata tindakan pantas beberapa agensi terlibat menghalang tumpahan minyak memasuki muka sauk loji rawatan air (LRA) Bukit Tampoi yang terletak hanya 700 meter dari lokasi kejadian.

"Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd telah mengaktifkan henti tugas LRA berkenaan bagi mengelakkan pencemaran berkenaan memasuki sistem LRA," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko.

"Langkah pencegahan awal telah dibuat oleh PLUS Malaysia Berhad dengan meletakkan 25 beg serbuk kayu di kawasan terlibat berjaya mengekang insiden daripada bertambah teruk."

Dalam pada itu, Loy Sian memaklumkan Jabatan Alam Sekitar cawangan Sepang telah mengarahkan premis kilang kelapa sawit terlibat menjalankan kerja pembersihan dengan kadar segera.

Setelah pelbagai usaha pencegahan dilakukan LUAS, Loy Sian berkata LRA Bukit Tampoi dijangka beroperasi semula dalam masa terdekat.

Kemalangan 3.30 petang semalam membabitkan sebuah lori dengan muatan minyak sawit dan sebuah lori membawa tanah bertembung di Persimpangan Nilai Utara-Bandar Serenia menyebabkan tumpahan minyak sawit mengalir ke Sungai Semarang dan seterusnya ke Sungai Langat.

LUAS meneruskan siasatan dan pensampelan di kawasan hilir dan hulu muka sauk Bukit Tampoi sehingga jam 3.20 pagi tadi dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang kesan minyak ditemui di kesemua titik pensampelan.

"Kerja-kerja pembersihan dan penyedutan masih lagi dijalankan oleh premis terlibat dibantu oleh LUAS melalui kontraktor yang dilantik.

"Pemantauan rapi dari semasa ke semasa diteruskan oleh LUAS bersama pihak terlibat bagi memastikan sumber air Selangor terpelihara," katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619