AGENDA

Menteri: Tiada kes cacar monyet dalam kalangan jemaah haji Malaysia di Arab Saudi

15 Jul 2022, 10:37 AM
Menteri: Tiada kes cacar monyet dalam kalangan jemaah haji Malaysia di Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia di Arab Saudi dijangkiti cacar monyet setakat ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Bengkel Transformasi Strategi Dan Memperkasa Penjagaan Autisme di sini hari ini, beliau berkata setakat pengetahuan pihak Kementerian Kesihatan (KKM), jemaah haji Malaysia di Tanah Suci berada dalam keadaan baik.

Mengenai kes cacar monyet di Singapura, katanya maklumat yang diterima KKM mendapati terdapat tiga kes jangkitan tempatan penyakit berkenaan dikesan di negara jiran itu dengan satu daripadanya ada sejarah perjalanan ke Malaysia.

Sementara itu, mengulas pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19, Khairy berkata buat masa ini ia cuma disyorkan kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan individu yang mempunyai masalah penyakit kronik atau komorbid berusia 18 tahun ke atas.

Mengenai terdapat mereka yang berumur di bawah 60 tahun datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mendapatkan dos penggalak kedua menggunakan alasan ingin mengembara ke luar negara, beliau berkata tidak ada keperluan untuk mereka berbuat demikian.

“Pandangan TWG (kumpulan kerja teknikal) adalah buat masa ini tiada keperluan untuk mereka yang berusia 60 tahun ke bawah yang sihat menerima dos kedua, tetapi KKM tidak menghalang sekiranya mereka mengaku hendak mengembara ke luar negara,” katanya.

Berhubung hampir tujuh juta rakyat dewasa Malaysia belum terima dos penggalak pula, beliau menasihatkan mereka supaya berbuat demikian bagi mengurangkan kesan serius jangkitan Covid-19 termasuk kematian.

“Bagi golongan dewasa dan belum dapat dos penggalak pertama, saya merayu dan galakkan anda menerima dos penggalak kerana kita berdepan dengan gelombang BA.5 sekarang,” katanya.

Mengenai pengambilan ubat anti viral Paxlovid, Khairy berkata mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai gejala ringan ataupun kategori 2 dan 3 boleh mengambil ubat itu tetapi masih perlukan penilaian doktor.

“Jika berusia 60 tahun ke atas dan pakar perubatan keluarga buat penilaian dan layak terima, mereka akan terima Paxlovid. Senarai fasiliti kesihatan yang membekalkannya boleh didapati di covid-19.moh.gov.my,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619