AGENDA

Pendaftaran ahli baharu KWSP meningkat kepada 146,000 pada suku pertama tahun ini

12 Jul 2022, 3:51 AM
Pendaftaran ahli baharu KWSP meningkat kepada 146,000 pada suku pertama tahun ini

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Pendaftaran ahli baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meningkat sebanyak 57 peratus kepada 146,000 orang pada suku pertama 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini selaras dengan usaha dana persaraan itu yang memulakan strategi jangka panjang untuk meluaskan liputan perlindungan sosial rakyat Malaysia dalam usaha memperkukuh ekosistem sokongan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Buat masa ini, walaupun ada pelbagai inisatif perlindungan sosial yang diperkenal dan sesetengahnya mendapat pembiayaan kerajaan, namun rata-rata kesedaran mengenai pentingnya perlindungan sosial dan persiapan untuk hari tua masih terlalu rendah dalam kalangan sejumlah besar rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kemudahan Insurans dan Takaful i-Lindung KWSP di sini, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, salah satu aspek terpenting adalah berkaitan pengukuhan perlindungan sosial dan tanggung jawab tersebut telah diberikan kepada KWSP apabila kerajaan mula melaksanakan Program Transformasi GLC.

Malah, katanya, program tersebut adalah bagi memacu pemulihan dan pembinaan semula ekonomi negara pasca-pandemik melalui ekosistem GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Mengulas mengenai platform i-Lindung yang dilancarkan hari ini, Tengku Zafrul berkata ia dapat membantu ahli KWSP untuk mendapatkan perlindungan bagi menghadapi situasi tidak diduga dan di luar kawalan yang boleh menimpa sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

“Ini merupakan satu titik tolak yang penting bagi melindungi rakyat Malaysia serta keluarga masing-masing daripada risiko kematian, kehilangan upaya secara menyeluruh dan penyakit kronik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yakin kemudahan i-Lindung tersebut berupaya membantu merealisasikan hasrat negara untuk mencapai kadar penembusan insurans lebih daripada 70 peratus, selain dapat membantu ahli mendapatkan perlindungan insurans dan takaful.

“Kemudahan i-Lindung ini boleh didapati pada kadar minimum RM30 setahun dengan perlindungan sebanyak RM10,000 serta boleh ditolak daripada Akaun 2,” katanya.

Menurutnya, KWSP turut menyasarkan sebanyak 300,000 orang bagi platform i-Lindung tersebut untuk tahun pertama pelaksanaannya.

Platform i-Lindung tersebut adalah di bawah Pelan Perlindungan Ahli bagi kemudahan pembelian produk-produk insurans dan takaful yang merangkumi perlindungan hayat dan penyakit kritikal pada premium yang berpatutan daripada Akaun 2.

Tawaran perlindungan kepada ahli KWSP itu juga berkuat kuasa secara serta-merta.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619