AGENDA

Campuran sisa kimia, domestik punca pencemaran bau di Dengkil

5 Jul 2022, 12:42 PM
Campuran sisa kimia, domestik punca pencemaran bau di Dengkil

DENGKIL, 5 JULAI: Pencemaran bau seakan bau kencing kucing atau tikus sejak seminggu lepas sehingga boleh dihidu dalam radius 4.7 kilometer termasuk di Putrajaya, membawa kepada penemuan tapak pelupusan haram dipenuhi sisa kimia bercampur dengan sampah domestik di Kampung Semarang di sini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak menggerakkan siasatan bermula 30 Jun lepas meliputi pelbagai punca berpotensi seperti kilang dan saluran paip gas bagi mengesan aktiviti mencurigakan, sebelum berjaya mengesan lokasi pencemaran itu semalam yang terletak kira-kira 700 meter dari jajaran Sungai Langat.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dianggarkan terdapat 100 tong besi berkapasiti 200 liter mengandungi sisa kimia disyaki buangan terjadual berbentuk cecair, separa cecair dan pepejal berwarna di tapak pencemaran itu.

"Terdapat juga sisa bekas intermediate bulk container (IBC) yang telah dipotong dan isi kandungannya dialirkan dalam lubang besar digali oleh pihak yang melupuskan sisa itu,” katanya pada media ketika meninjau lokasi pencemaran di sini hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim pencemaran bau dari tapak pelupusan haram boleh dihidu penduduk di Taman Emas dan Taman Kristal di Dengkil, dan Presint 5, Putrajaya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pelupusan sisa haram telah berlaku sejak berbulan lepas dan jumlah sisa yang bertambah mengakibatkan bau kurang menyenangkan.

Tuan Ibrahim berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes tersebut, namun pihak JAS telah menggerakkan pasukan siasatan bagi mengenal pasti pelaku, kilang terlibat serta kontraktor pengangkut.

Menurutnya sebuah jentera berat yang disyaki digunakan untuk melupuskan buangan telah disita pihak JAS bagi siasatan lanjut.

“Ada beberapa indikator yang dikenal pasti dari segi bahan kimia apa yang dilupuskan di sini," katanya mengenai tindakan susulan yang akan dilaksanakan akibat daripada pencemaran bau itu.

Beliau berkata Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar diarahkan untuk menyelaras satu mesyuarat tindak cepat dengan agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tindakan pembersihan segera dan pengeluaran kesemua bahan buangan dari lokasi kejadian.

Tinjauan wartawan di lokasi turut mendapati kawasan seluas 1.3 hektar itu dipenuhi lalat dan debu halus disertai bau tengik yang kuat, manakala pasukan JAS turut dilihat mengambil sampel sisa buangan bagi tindakan lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619