AGENDA

Dua lelaki ditahan cuba sogok pegawai kanan polis RM25,000

30 Jun 2022, 1:59 PM
Dua lelaki ditahan cuba sogok pegawai kanan polis RM25,000

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai cuba menawarkan wang sogokan RM25,000 kepada pegawai kanan polis selepas sebuah premis diserbu di Kepong, dekat sini, semalam.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kedua-dua lelaki berusia 40 dan 46 tahun itu ditahan dalam Op Kontraban oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya dalam operasi itu, polis turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka berusia 26 dan 30 tahun.

“Kami merampas 34,536 tin dan 889 botol minuman keras, dua kenderaan pacuan empat roda dan wang tunai RM42,157 dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,228,391,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata seorang daripada empat lelaki yang ditahan pernah melakukan kesalahan sama pada 16 Mac lepas dengan nilai rampasan RM736,658.

Beliau berkata kesemua lelaki terbabit kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

“Kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama polis dan SPRM dalam meningkatkan keberhasilan serta memastikan ketelusan operasi yang dijalankan agar lebih berintegriti dan efektif,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619