AGENDA

Agong, permaisuri zahir takziah pemergian bekas pemain hoki Freddy Wilfred Vias

9 Jun 2022, 2:50 AM
Agong, permaisuri zahir takziah pemergian bekas pemain hoki Freddy Wilfred Vias

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pemain hoki kebangsaan, Freddy Wilfred Vias yang meninggal dunia semalam.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara,” menurut hantaran dalam Facebook Istana Negara di sini, pagi ini.

Freddy meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya tengah hari semalam pada usia 93 tahun.

Mendiang merupakan pemain pasukan kebangsaan pada era 1950an dan pernah dipilih menjadi kapten pasukan kebangsaan pada tahun 1954.

Semasa hayatnya mendiang merupakan salah seorang pemain utama yang membantu skuad negara untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik 1956 Melbourne, Australia.

Mendiang pernah memegang jawatan setiausaha Persatuan Hoki Johor dari tahun 1950 hingga 1953 dan setiausaha Persatuan Hoki Negeri Sembilan dari tahun 1956 hingga 1957.

Mendiang juga pernah dipilih sebagai salah seorang daripada 80 pembawa obor untuk Larian Berganti-ganti Obor Olimpik yang diadakan sempena temasya Olimpik Beijing 2008.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619