AGENDA

PBAKL bantu promosi insentif biasiswa, pinjaman pendidikan untuk anak Selangor

6 Jun 2022, 2:29 AM
PBAKL bantu promosi insentif biasiswa, pinjaman pendidikan untuk anak Selangor

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Bahagian pengurusan sumber manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengambil peluang mempromosi insentif pembiayaan pendidikan di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.

Ketua Penolong Setiausaha (Dasar) Mazhan Mujail berkata pembiayaan bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) ditawar kepada anak Selangor yang berminat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Sebagai menyokong penganjuran PBAKL 2022, kita memperkenalkan inisiatif pembiayaan pendidikan sama ada biasiswa atau pinjaman yang disediakan secara konsisten oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM22 juta setahun.

"Kita menyampaikan maklumat terperinci berhubung pembiayaan ini selain membantu cara membuat permohonan secara dalam talian kepada mereka yang berkunjung ke tapak pameran.

"Sebenarnya masih ramai keliru definisi sebenar anak Selangor yang mana individu terbabit atau ibu bapa mereka lahir di negeri ini atau sudah bermastautin lebih 10 tahun, jadi mereka layak mohon," katanya ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan permohonan pinjaman boleh ubah dalam negara dibuka sejak hari pertama penganjuran PBAKL sehingga 31 Julai melalui pautan https://tkwbns.selangor.gov.my atau https://danapendidikan.selangor.gov.my.

Menurut Mazhan, pihaknya menyasarkan sebanyak 2,000 permohonan diterima sepanjang tempoh itu berbanding 1,500 yang diperoleh pada tahun terdahulu.

"Saya menyeru anak Selangor yang layak agar manfaatkan peluang kerana uniknya pinjaman ini tiada kadar faedah, malah diskaun 50 peratus secara automatik diberi jika mereka memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas," katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Radhilah Abdullah berkata PBAKL medium terbaik untuk memperkenalkan 20 jenis buku seni budaya terbitan institusi terbabit.

Katanya naskhah akademik seperti muzik, tari, seni halus dan animasi tulisan pensyarah Aswara menerima sambutan memberangsangkan dalam kalangan pengunjung kerana dijual pada harga serendah RM20 hingga RM100.

"Kita juga perkenalkan lukisan pelajar Fakulti Seni Halus selain memberi pendedahan kepada pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin menyambung pengajian di institusi ini untuk ambilan sesi September," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619