AGENDA

Amalan membaca bermula dari rumah, ibu bapa jadi teladan

12 Jun 2022, 2:00 AM
Amalan membaca bermula dari rumah, ibu bapa jadi teladan

KUALA LUMPUR, 12 JUN : Amalan membaca perlu bermula dari rumah dan ibu bapa seharusnya mendedahkan anak mereka terhadap bahan bacaan sejak awal usia.

Berkongsi pengalamannya, Sasterawan Negara Datuk Dr Prof Siti Zainon Ismail berkata beliau mula minat membaca selepas ibu dan bapanya sering memberikannya buku seawal usia lima tahun.

Anak kelahiran Kampung Gombak Batu 4 Suku di sini turut mengakui selain membaca minatnya terhadap seni lukis dan menulis juga mula tumbuh seawal usia berkenaan.

"Ibu bapa atau penjaga perlu mulakan sesuatu amalan yang baik terlebih dahulu sebelum mahukan anak mereka minat terhadap satu-satu perkara sebagai contoh jika mahu anak membaca kita juga perlu buat yang sama.

"Anak-anak ini dia akan mudah terikut apa yang orang tua mereka buat, jadi penting untuk kita menerapkan sesuatu amalan yang boleh dicontohi," katanya.

Beliau ditemui dalam Program Hati dan Minda Sasterawan Negara yang diadakan di Pavillion Selangor menerusi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam.

Minat mendalam terhadap seni lukis menyebabkan Sasterawan Negara ke-14 itu mengambil keputusan melanjutkan pengajian di Institut Seni Indonesia, Yogyakarta dalam bidang Seni Lukis.

"Lukisan adalah wadah saya berbicara sebab itu kebanyakan lukisan dalam buku catatan saya dilukis sendiri kerana ia mempunyai maksudnya yang tersendiri.

"Disebabkan itu juga saya memilih Yogyakarta kerana saya menemui banyak seniman yang intelektual, manakala bakat seni dan sastera berkembang seiring di sana," jelasnya.

Mengulas siapa idola dan sumber inspirasinya, Dr Prof Siti Zainon berkata antaranya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang; seniman Indonesia, WS Rendra dan novelis Indonesia Mochtar Lubis.

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut menasihatkan anak muda perlu rajin membaca, mencatat dan usaha untuk berkarya kerana ia mungkin boleh berkembang menjadi penulisan bermakna.

"Setiap karya saya contohnya adalah hasil kajian yang dikutip daripada pengalaman hidup yang rencam. Daripada kecil saya suka berimaginasi, menulis serta mengolah dalam bentuk lukisan," katanya.

Antara karya dihasilkan Dr Prof Siti Zainon adalah Kasih Bonda: Kampung Paya Kami; Zaman Cicak dan Mengkarung; Aceh Suara Dari Hujung Tambak; Pakaian Cara Melayu, Puisi Putih Sang Kekasih dan Surat Dari Awan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619