AGENDA

Kursus integriti dan antirasuah wajib di universiti mulai tahun depan

4 Jun 2022, 1:08 PM
Kursus integriti dan antirasuah wajib di universiti mulai tahun depan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah telah memutuskan supaya Kursus Integriti dan Antirasuah diwajibkan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata kursus itu akan menjadi subjek yang sistematik dan berstruktur untuk pemahaman pelajar mengenai rasuah.

Beliau berkata inisiatif berkenaan membolehkan pelajar lebih peka dengan kesan rasuah yang bukan sahaja menjejaskan diri mereka tetapi juga negara.

“Belia yang sudah bekerja dikhuatiri tergoda dengan rasuah. Kursus ini juga memberikan pendedahan kepada penuntut supaya mereka tidak meminta rasuah dan tidak memberikan rasuah kepada mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah di Universiti Malaya di sini hari ini.

Norazlan berkata berdasarkan data terkini pihaknya, seramai 275 belia berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun ditahan atas kesalahan rasuah yang terdiri daripada 231 lelaki dan 44 wanita sejak 2020 hingga semalam.

Beliau berkata dalam tempoh sama, seramai 151 belia dituduh di mahkamah melibatkan 11 orang berusia 18 hingga 23 tahun dan 140 orang berusia 24 hingga 30 tahun dengan 85 daripadanya selesai perbicaraan serta didapati bersalah.

Antara kesalahan dilakukan adalah memberi, menerima dan lain-lain kesalahan berkaitan rasuah.

“Data yang dibentangkan ini wajar menjadi peringatan kepada para penuntut bahawa antara belia tersebut merupakan bekas pelajar IPT. Godaan rasuah wujud terutama apabila pelajar memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Norazlan berkata SPRM sentiasa menggalakkan kerjasama daripada pemimpin mahasiswa untuk membantu suruhanjaya itu menyebarluaskan mesej dan panduan antirasuah melalui inisiatif pendidikan antirasuah yang boleh dirangka dan dilaksanakan melalui bimbingan SPRM.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619