ADN

Wakil rakyat saran bakal jemaah segera mohon insentif haji

1 Jun 2022, 10:00 AM
Wakil rakyat saran bakal jemaah segera mohon insentif haji

SHAH ALAM, 1 JUN : Bakal jemaah di negeri ini diseru memohon segera Insentif Haji Muassasah yang disediakan Kerajaan Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin berkata individu yang mempunyai dokumen lengkap boleh terus ke pusat khidmat masyarakat (PKM) berhampiran untuk membuat permohonan.

"Antara salinan dokumen perlu disediakan jemaah haji adalah kad pengenalan dan surat tawaran dari mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) Selangor.

"Setakat ini kita tidak meletakkan sasaran jumlah pemohon tetapi semua bakal haji di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang boleh memohon segera di PKM," katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Manakala, ADN Kajang Hee Loy Sian berkata setakat semalam pihaknya sudah menerima sebanyak 37 permohonan Insentif Haji Muassasah.

"Permohonan masih dibuka sehingga 31 Ogos ini, ia adalah terhad dan kita mengguna pakai konsep siapa cepat dia dapat. Semua bakal jemaah diseru segera memohon," katanya.

Selain itu, wakil rakyat Tanjong Sepat Borhan Aman Shah berkata sambutan amat memberangsangkan apabila 10 jemaah haji di kawasannya sudah memohon inisiatif tersebut sejak dibuka 23 Mei lalu.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang bakal menunaikan haji.

Jemaah yang layak akan menerima wang tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan TH.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619