SHAH ALAM, 31 MEI: Pemeriksaan kesihatan percuma akan diteruskan hujung minggu ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam dan Sekinchan bermula 9 pagi hingga 5 petang.
Ahli penasihat kesihatan awam Selangor berkata program Selangor Saring itu berlangsung di Dewan Kelab Ko Cho, Hulu Bernam pada Sabtu, diikuti Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yoke Kuan, Sekinchan pada Ahad.
“Kita minta penduduk setempat untuk memanfaatkan peluang ini bagi mengesan penyakit masing-masing. Usaha ini dapat mengetahui tahap kesihatan mereka.
“Bawa semua ahli keluarga datang dan periksa kesihatan. Jika ada penyakit dikesan, kita bantu ubati dan jumpa doktor pakar. Mencegah awal lebih baik sebelum sakit menjadi serius,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli kepada SelangorKini.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.
Program bermula 22 Mei hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.
Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan http://selangorsaring.selangkah.my, hubungi talian Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui http://drsitimariah.com/talian-suka/.