BERITA UTAMA

Selangor tubuh pasukan sukarelawan bantu Bomba operasi menyelamat

24 Mei 2022, 2:57 PM
Selangor tubuh pasukan sukarelawan bantu Bomba operasi menyelamat

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan Sukarelawan Selangor (SERVE) Elit bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam operasi bencana.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata untuk permulaan seramai 100 sukarelawan daripada ahli SERVE dilatih sepenuhnya oleh pasukan bomba.

"Mereka ini antara ahli SERVE yang dipilih oleh barisan pimpinan Penggerak Belia Selangor (PeBS) kemudian akan mengikuti latihan sepenuhnya bersama JBPM Selangor mengikut tempoh tertentu.

"Tujuan kita menubuhkan pasukan ini bagi membantu mempercepatkan operasi menyelamat pihak bomba di samping menjadi 'first responder' terutama ketika berlaku sebarang bencana di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan bersama Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong di sini hari ini.

Mohd Khairuddin menjelaskan sebanyak RM100,000 diperuntuk bagi menubuhkan pasukan SERVE Elit pada tahun ini yang dijangka bakal memulakan tugas selewat-lewatnya pada November.

Jelas beliau, penubuhan SERVE Elit itu juga adalah selepas mengambil iktibar sukarelawan sebelum ini yang kurang kemahiran terutama dalam aktiviti menyelamat mangsa dalam situasi bencana.

"Terima kasih kepada pihak JBPM Selangor kerana menerima baik program ini dan dapat memberi latihan kepada ahli SERVE Elit sebaiknya supaya mereka dapat membantu masyarakat dengan lebih baik," katanya.

Sejak ditubuhkan pada tahun lalu, SERVE mempunyai 3,800 ahli SERVE untuk membantu masyarakat menghadapi krisis dan bencana.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619