AGENDA

SPRM buka 379 kertas siasatan, tahan 425 individu setakat April

24 Mei 2022, 5:48 AM
SPRM buka 379 kertas siasatan, tahan 425 individu setakat April

PUTRAJAYA, 24 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 379 kertas siasatan dan menahan 425 individu setakat April tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bagi suku pertama tahun ini, agensi itu telah merampas aset bernilai RM12.58 juta dan sejumlah RM59 juta dilucuthakkan.

“Tahun lepas, SPRM membuka 829 kertas siasatan yang mengakibatkan 851 tangkapan dengan jumlah aset yang dirampas berjumlah 162 juta, manakala jumlah yang dilucuthakkan ialah sebanyak RM5.13 bilion,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Antirasuah Malaysia ke-3 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi dan Pengasas Institut Strategi Antarabangsa (ISI) Cheah Chyuan Yong. Forum anjuran ISI itu bertujuan mencari kaedah yang berkesan dalam membanteras rasuah.

Dalam ucapannya, Azam menggesa syarikat dan syarikat korporat sama ada tempatan atau asing agar memanfaatkan rebat potongan cukai untuk menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berkaitan pencegahan rasuah dan pendidikan.

Beliau berkata dengan penganjuran program CSR, syarikat layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan amaun bersamaan dengan jumlah perbelanjaan yang ditanggung untuk program sedemikian, yang dijalankan dengan kerjasama SPRM.

“Insentif pelepasan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah untuk menggalakkan lebih banyak syarikat swasta bekerjasama dengan SPRM menjalankan program pencegahan rasuah yang akan memberi manfaat kepada orang ramai termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya.

Mengenai usaha pemulihan aset 1MDB, Azam berkata aset bernilai RM5.11 bilion lagi telah diperoleh melalui cara penyelesaian dan SPRM akan terus mendapatkan lebih banyak aset yang dicuri daripada si pelaku.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619