AGENDA

Polis: Kes Macau Scam di Selangor membimbangkan, catat kerugian RM19.8 juta

22 Mei 2022, 7:52 AM
Polis: Kes Macau Scam di Selangor membimbangkan, catat kerugian RM19.8 juta

SHAH ALAM, 22 MEI: Polis Selangor menyifatkan jenayah penipuan Macau Scam di negeri itu berada di tahap membimbangkan dengan 156 kes dicatat melibatkan kerugian RM19.8 juta dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata daripada jumlah tersebut, majoriti daripadanya melibatkan penipuan transaksi dalam talian dengan menyamar antaranya sebagai penjawat awam dan penjualan barangan dalam kuantiti banyak.

“Yang paling tinggi melibatkan kes tipu menyatakan mereka (sindiket) adalah pegawai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Tabung Haji. Ini melibatkan kerugian paling banyak,” katanya selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini.

Arjunaidi berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya mendapati mangsa kes tipu dalam talian meliputi semua golongan termasuk kakitangan kerajaan dan korporat.

Jelasnya, punca utama kes penipuan itu masih berleluasa adalah kerana mangsa mendapat panggilan cepat panik dan mempercayai individu yang menyamar khususnya sebagai penjawat awam atau penjual barangan.

“Misalnya, dia (penjenayah) telefon mangsa dan kata mereka dari LHDN…mereka selepas itu sambungkan panggilan ke pihak polis. Adalah tidak logik panggilan LHDN itu untuk sambungkan talian kepada pegawai penyiasat polis.

“LHDN dan polis mereka tidak pernah duduk sepejabat. Jadi kita nasihatkan orang ramai supaya tidak cepat panik kalau terima panggilan sebegini,” katanya.

Di samping itu, Arjunaidi berkata undang-undang sedia ada di bawah peruntukan Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu perlu dipinda agar ia seiring dengan teknologi yang kian berkembang.

“Undang-undang sedia ada tidak menepati keadaan sekarang dengan adanya sistem perbankan dan pemindahan wang dalam talian,” katanya.

Beliau berkata walaupun penjenayah tersebut ditangkap dan didakwa di mahkamah, jelasnya ia akan menimbulkan masalah dari segi pertuduhan kerana undang-undang sedia ada lebih melibatkan kes penipuan secara bersemuka.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619