AGENDA

Guru rugi lebih RM300,000 diperdaya sindiket tipu bungkusan terlibat kes dadah

22 Nov 2023, 3:02 AM
Guru rugi lebih RM300,000 diperdaya sindiket tipu bungkusan terlibat kes dadah

KUANTAN, 22 NOV: Bermula dengan satu panggilan telefon, seorang guru wanita menanggung beban hutang yang tinggi selepas mendakwa dirinya diperdaya untuk membuat pinjaman bank oleh sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 34 tahun itu menerima panggilan telefon pada pertengahan Oktober lepas, mengaku sebagai wakil syarikat penghantaran memaklumkan terdapat bungkusan didaftarkan dengan nama mangsa telah ditahan polis.

"Suspek mendakwa bungkusan itu bermasalah kerana mengandungi dokumen penting seperti kad pengenalan, buku cek dan kad kredit menyebabkan mangsa perlu berurusan dengan polis bagi mendapatkan bungkusan tersebut.

"Mangsa mendakwa dirinya telah bercakap dengan pegawai polis di Pulau Pinang sebelum disambungkan ke Bukit Aman memandangkan bungkusan itu berkait dengan kes dadah dan wang haram," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata mangsa yang panik telah mengikut arahan untuk memindahkan wang ke akaun diberikan suspek selain turut membuat pinjaman di sebuah bank, juga mengikut arahan suspek sebelum diarahkan untuk berkongsi maklumat perbankan itu.

Katanya, mangsa dimaklumkan bahawa transaksi pemindahan wang dan pinjaman bank adalah untuk siasatan polis dan bayaran kepada mahkamah, pihak audit serta Bank Negara Malaysia selain bagi rayuan supaya dia tidak dikenakan tindakan.

"Secara keseluruhannya, mangsa mendakwa telah memindahkan wang berjumlah RM362,399 kepada suspek dan hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek bagi bertanyakan perkembangan siasatan kes itu," katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di balai polis di Cameron Highlands, semalam.

Yahaya menasihatkan orang awam untuk tidak panik semasa menerima panggilan telefon meragukan dan segera membuat semakan di balai polis selain menyemak nombor telefon dan nombor akaun yang diterima di laman web https://semakmule.rmp. gov.my supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619