AGENDA

Lelaki warga Bangladesh sebar berita palsu nampak harimau ditahan

22 Mei 2022, 1:30 AM
Lelaki warga Bangladesh sebar berita palsu nampak harimau ditahan

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana disyaki menyebarkan berita palsu mendakwa terlihat kelibat harimau yang dikatakan terlepas dari Zoo Negara.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 51 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah itu, ditahan di pondok pengawal di Jalan Tropika Kemensah 3, Kemensah Height, di sini pada 7 malam Jumaat.

Beliau berkata suspek dipercayai bertanggungjawab menyebar maklumat melihat harimau berkenaan.

“Polis telah menerima laporan daripada seorang pengadu yang menerima pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa melihat kelibat harimau di kawasan kejiranannya dan meminta penduduk setempat berjaga-jaga.

"Pengadu merasakan dakwaan itu tidak benar dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat kerana setakat ini tiada bukti jelas tentang kehadiran harimau terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata lelaki itu kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen yang sah dan siasatan juga dibuka berhubung isu tular di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Semalam, tular di media sosial dakwaan seekor harimau muncul dan berlegar di kawasan perumahan di Kemensah Height, Hulu Klang, namun Zoo Negara telah mengesahkan tiada harimau yang terlepas dari premisnya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619