AGENDA

Ketua pembangkang usul bentang akta antilompat parti hujung Mei

11 Apr 2022, 4:35 AM
Ketua pembangkang usul bentang akta antilompat parti hujung Mei

SHAH ALAM, 11 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dibentang sebelum akhir Mei nanti.

Ketua pembangkang berkata tindakan itu membolehkan pindaan penggubalan RUU hari ini dibentang bersama RUU Antilompat Parti dan berharap perdana menteri mempersetujui perkara tersebut.

"Ini membolehkan kita tahu maksud khusus pindaan ini berlaku, supaya Yang Berhormat akan mendapat kepastian yang dimaksudkan dengan pindaan ini, yang kita tahu adalah dengan menterjemahkannya dalam RUU Antilompat Parti.

"Saya harap jawatankuasa yang berkenaan segera bermesyuarat dan mencari kesepakatan supaya dapat dibentang, dibahas dan diluluskan secepat mungkin," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata kerajaan menyasarkan RUU Antilompat Parti dibentang pada sesi Parlimen Julai ini.

Jelasnya, kerajaan tidak berniat untuk melewat-lewatkan atau tidak membentangkan akta itu, namun beberapa perkara perlu diselesaikan termasuk pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang dibentangkan hari ini.

Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata akta terbabit perlu diluluskan memandangkan tindakan ramai ahli politik lompat parti dalam tempoh beberapa tahun ini.

Jelasnya, perkara itu memberi kesan kepada kestabilan politik selain menyebabkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Ada rakyat mual dengan kegelojohan orang politik yang sanggup khianati amanah semata-mata terpengaruh dengan janji sogokan dan kedudukan.

“Dengan keputusan ini (lulus) kita dapat yakinkan mereka. Kita pulihkan semangat untuk pilih calon yang tak khianat amanah sekali gus memperkukuhkan sistem demokrasi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619