SELANGOR

Polis siasat empat lelaki terlibat kes bunuh di Seri Kembangan

6 Apr 2022, 12:19 PM
Polis siasat empat lelaki terlibat kes bunuh di Seri Kembangan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang lelaki di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan berkata mereka yang berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan di tepi Jalan Songket, Taman Maznah, dekat Klang, awal pagi tadi.

“Semakan mendapati kesemua suspek berasal dari Seri Kembangan dan mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripada mereka turut mempunyai rekod melibatkan kes narkotik.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan motif kejadian dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati yang menimbulkan dendam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad, media melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam pada kira-kira 5.56 pagi di hadapan sebuah kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Anbalagan berkata susulan penahanan suspek, polis turut merampas sebuah Proton Wira Aeroback warna kelabu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai digunakan semasa kejadian kes bunuh tersebut.

Beliau berkata kesemua mereka yang didapati negatif terhadap dadah kini direman hingga 12 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619