BERITA UTAMA

Elak sesak, MBPJ kaji guna sistem kawalan ramai ke semua bazar Ramadan

6 Apr 2022, 12:12 AM
Elak sesak, MBPJ kaji guna sistem kawalan ramai ke semua bazar Ramadan

PETALING JAYA, 6 APRIL: Sistem Kawalan Orang Ramai (CCS) mungkin diperluaskan ke bazar Ramadan lain pada masa akan datang sekiranya berkesan mengurangkan kesesakan pengunjung.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata penggunaan CCS di Bazar Ramadan SS 6/1, Kelana Jaya dan Seksyen 4, Kota Damansara adalah percubaan dan inisiatif pihaknya bagi mengawal kesesakan.

“Sistem menggunakan inframerah ini milik syarikat yang menawarkan khidmat dengan kadar sewa bulanan hampir RM20,000.

“Jika benar berkesan dan bagus selain mempunyai peruntukan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan guna pakai sistem ini di bazar lain,” kata Mohamad Azhan Md Amir selepas melawat Bazar Ramadan SS 6/1 di sini semalam.

Beliau berkata CCS dilengkapi papan pemuka diletakkan di laluan masuk bazar dan memaparkan jumlah pengunjung di kawasan berkenaan.

Jelasnya, paparan berwarna hijau bermaksud jumlah pengunjung terkawal, kuning pula menunjukkan pengunjung memenuhi separuh kapasiti dan merah membawa maksud kapasiti penuh.

“Kaedah ini membolehkan majlis dan agensi lain seperti polis, Kementerian Kesihatan memantau pematuhan tatacara operasi piawaian (SOP).

“Jumlah pengunjung ditetapkan di bazar SS 6/1 ini seramai 500 orang manakala di Seksyen 4 Kota Damansara seramai 200 untuk satu-satu masa,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Azhan menasihati orang ramai supaya tidak membawa anak berusia lapan tahun ke bawah memasuki bazar Ramadan, bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619