BERITA UTAMA

Negeri sumbang RM15,000 kepada persatuan renang para Selangor

2 Apr 2022, 1:04 AM
Negeri sumbang RM15,000 kepada persatuan renang para Selangor

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Negeri menghadiahkan RM15,000 kepada Persatuan Renang Para Selangor (REPS) atas kejayaan melahirkan ramai atlet bertaraf global dalam sukan itu.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata sumbangan itu tanda sokongan dengan harapan agar persatuan terbabit terus memainkan peranan aktif dalam mengembangkan bakat atlet renang para.

"Kita akan sentiasa bekerjasama dengan REPS untuk memastikan atlet renang para terus maju dalam sukan ini sekali gus membawa nama Selangor dan negara ke peringkat antarabangsa.

"Ramai atlet di bawah persatuan ini yang merangkul pingat emas di kejohanan antarabangsa. Kita bangga dan sentiasa mendoakan supaya mereka (atlet) dapat mengharumkan nama Selangor," katanya selepas majlis penghargaan 23 atlet renang para Selangor di Hotel Mardhiyyah di sini malam tadi.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Dato' Sri Megat D Shariman Zaharudin dan Presiden REPS Muhammad Redzuan Ismail.

Mohd Khairuddin berkata di sebalik kekurangan diri, atlet renang para memiliki kemahiran dan keistimewaan luar biasa ketika bertanding di mana-mana kejohanan tempatan mahupun luar negara.

"Saya lihat di kaca televisyen, ada satu acara renang dipertandingkan dalam kejohanan di Tokyo, Jepun, atlet kiri dan kanan tiada tangan tetapi kemahiran berenang mereka sangat luar biasa yang sukar digambarkan.

"Apakah sistem yang ada pada badan mereka sehingga boleh berenang dengan begitu hebat sekali. Diharap atlet renang para kita juga dapat terus berjuang," katanya yang menyasarkan sembilan pingat emas dari kolam renang pada Sukan Para Sukma XX, MSN 2022 yang dijadual mulai 29 Oktober hingga 6 November ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619