AGENDA

Tiada unsur khianat, jenayah dalam kebakaran di IPD Sepang

23 Mac 2022, 1:51 AM
Tiada unsur khianat, jenayah dalam kebakaran di IPD Sepang

SEPANG, 23 MAC: Kebakaran di tingkat satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membabitkan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan pejabat Pegawai Penyiasat Kanan (S.I.O) semalam, tiada unsur khianat dan jenayah.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata perkara berkenaan disahkan Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang diketuai Penguasa Kanan II Azlan Rahmat yang selesai melakukan siasatan di lokasi sehingga pukul 10.30 malam, semalam.

Kejadian kebakaran di tingkat satu IPD Sepang dilaporkan berlaku pada kira-kira 6 petang semalam, sebelum berjaya dipadamkan pihak bomba 40 minit kemudian. Insiden kebakaran itu turut tular di media sosial.

Menurutnya, kebakaran disyaki berpunca dari pejabat pentadbiran BSJ dan seterusnya merebak ke pejabat bersebelahan iaitu pejabat S.I.O serta bilik mesyuarat BSJ.

"Tiada kertas siasatan yang terbakar," kata Wan Kamarul Azran ketika dihubungi hari ini.

Siasatan kebakaran di IPD Sepang itu turut disertai 21 anggota dan unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang berada lokasi sejak 8.30 malam.

Wan Kamarul Azran berkata pemeriksaan awal mendapati hampir keseluruhan pejabat di BSJ mengalami kerosakan akibat kebakaran tersebut.

Kerosakan lain yang dikenal pasti adalah seperti gangguan talian Internet kerana kabel fiber optik turut terbakar, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619