AGENDA

Sarjan ditahan bantu siasatan kes pecah masuk stor ekshibit IPD Sepang

1 Ogos 2023, 6:40 AM
Sarjan ditahan bantu siasatan kes pecah masuk stor ekshibit IPD Sepang

SERDANG, 1 OGOS: Anggota polis berpangkat Sarjan ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pecah masuk stor ekshibit Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Jumaat lalu, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata individu berusia lingkungan 40-an itu merupakan anggota polis IPD berkenaan yang bertugas di Unit Komersial.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan Ke-7 Sime Darby Property Bhd di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini, beliau berkata siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk.

“Motif kejadian serta nilai kerugian barangan yang hilang masih dalam siasatan,” katanya dan menambah polis akan membuat permohonan reman terhadap anggota polis berkenaan.

Kes pecah masuk stor ekshibit itu dilaporkan mengakibatkan sejumlah barang berkaitan kes narkotik yang sedang dalam tindakan pelupusan hilang serta sebuah beg berisi komputer peribadi yang berfungsi untuk mengemas kini data barang kes turut hilang.

Sebelum ini, tular satu laporan polis yang mendakwa stor ekshibit berkenaan mempunyai kesan geledah selain kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi didapati dirosakkan dan tidak berfungsi.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Hussein berkata setakat semalam, pihaknya menerima 16 laporan yang melibatkan tujuh kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Laporan kesalahan yang diterima membabitkan perbuatan khianat seperti mengoyakkan poster dan sebagainya,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619