ADN

Speaker: Junjung titah sultan fokus isu rakyat, kurangkan politik

14 Mac 2022, 5:38 AM
Speaker: Junjung titah sultan fokus isu rakyat, kurangkan politik

SHAH ALAM, 14 MAC: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berharap wakil rakyat menumpukan isu di kawasan masing-masing serta mengurangkan bicara politik selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Ng Suee Lim berkata beliau memandang serius titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mengingatkan wakil rakyat supaya menumpukan usaha dan tanggungjawab dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Sebagai speaker, saya mengingatkan wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang menjunjung kasih titah tuanku dengan memfokus kawasan masing-masing dalam memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat terpelihara.

"Sekiranya terlalu berpolitik dan bercakap isu parti, akhirnya kepentingan rakyat diabaikan. Rakyat ketika ini mengharap bantuan dan keprihatinan wakil rakyat kerana berada dalam keadaan ekonomi mencabar," katanya.

Beliau ditemui selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima DNS ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Terdahulu, baginda bertitah dalam istiadat pembukaan DNS mengingatkan wakil rakyat menumpukan usaha dan tanggungjawab untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan masing-masing seterusnya dapat membangunkan ekonomi serta memakmurkan negeri.

Tuanku mengingatkan wakil rakyat tidak menghabiskan masa dengan berpolitik untuk kepentingan parti masing-masing sahaja sehingga mengabaikan tugas dan peranan mereka untuk membela nasib rakyat.

Sultan Selangor turut bertitah wakil rakyat dapat berbahas dengan berhemah, memberi topik perbahasan yang bernas dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang tepat demi kesejahteraan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619